Search for
Login | Username Password Forgot? | Email: | Create Account
Health / Medical / Fitness | Entries: 90 | Views: 220 | Modified: 2 hours ago | | Add to My Feeds
Report
Ruang tulang belakang sempit bukan penyakit
BH

Jika anda pernah berasa kebas, lemah, kejang atau sakit pada kaki apabila menggerakkan bahagian belakang ketika duduk, mungkin anda berhadapan masalah ‘spinal stenosis’.
Spinal stenosis bukan penyakit, ia merujuk kepada masalah penyempitan ruang tulang belakang. Apa saja punca penyempitan laluan tulang belakang (spinal canal) adalah spinal stenosis.

Tulang belakang adalah garisan panjang terbentuk daripada 26 tulang. Ia membolehkan anda berdiri tegak atau membengkok. Tulang belakang juga melindungi saraf tunjang daripada tercedera. Mereka yang berhadapan dengan spinal stenosis bermaksud, tulang belakangnya menyempit pada satu atau lebih bahagian berikut iaitu ruang tengah tulang belakang, laluan saraf bercabang keluar daripada tulang belakang atau saraf antara tulang di tulang belakang (vertebra).

Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Trauma, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar, berkata spinal stenosis adalah masalah biasa dialami mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun, bagi orang muda, masalah itu boleh terjadi apabila mereka cedera pada tulang belakang. Selain itu mereka yang lahir dengan laluan tulang belakang yang sempit juga berisiko berhadapan dengan spinal stenosis.

"Selalunya spinal stenosis terjadi di bahagian bawah tulang belakang (lumbar). Penyempitan memberi tekanan kepada tulang belakang atau saraf yang keluar secara bercabang daripada tulang belakang," katanya.

Beliau berkata, spinal stenosis membawa kepada pelbagai masalah bergantung kepada saraf yang terjejas, "Penyempitan itu mungkin membabitkan bahagian yang kecil atau besar pada tulang belakang. Tekanan pada bawah tulang belakang atau akar saraf yang bercabang keluar dan pada kawasan itu mungkin meningkatkan rasa sakit atau kebas pada kaki. Ia boleh berlaku pada satu peringkat saja atau banyak peringkat," katanya.

Secara umum, spinal stenosis menyebabkan kekejangan, sakit atau kebas pada kaki, belakang, tengkuk, bahu atau lengan. Kadangkala pada peringkat lebih serius ia boleh membawa masalah kepada pundi kencing atau pergerakan usus.

Simptom lemah spinal stenosis boleh dihilangkan dengan ubat atau terapi fizikal, tetapi dalam kes yang lebih serius ia mungkin memerlukan pembedahan bagi mewujudkan ruang tambahan.

Walaupun pembedahan membantu mengurangkan kesakitan, ia tidak boleh memperbaiki saraf yang rosak atau menghentikan proses 'degenerative' (kemerosotan tulang disebabkan penuaan) yang membawa kepada spinal stenosis.

"Spinal stenosis biasa terjadi pada bahagian L4 dan L5. Kira-kira 80 peratus lelaki pada usia 40 tahun akan mengalaminya dan 65 peratus wanita mengalaminya pada usia yang sama," katanya.

Secara klinikal, kekerapan wanita mengalaminya berbanding lelaki adalah tiga nisbah satu atau lima nisbah satu.

Punca spinal stenosis

Dr Ezam berkata, spinal stenosis dikategorikan sebagai 'primary' atau 'acquired'. Ia selalunya berlaku ketika lahir. Antaranya masalah yang tidak diketahui puncanya (idiophatic) dan masalah disebabkan kecacatan bentuk fizikal seperti orang yang dilahirkan kerdil (achondroplasia).

Bagi kategori 'acquired pula, ia selalunya berlaku disebabkan perubahan kemerosotan (degenerative) tulang belakang yang seiring dengan penuaan. Selain itu, ia boleh terjadi disebabkan faktor berikut:
• Diska teranjak;
• Perubahan ligamen;
• Tumor;
• Jangkitan seperti tibi;
• Patah tulang belakang;
• Kelonggaran tulang belakang;
• Kesan pembedahan tulang belakang pada masa lalu.

Gejala Spinal Stenosis
  • Penyempitan tulang belakang selalunya tidak menimbulkan masalah, tetapi jika penyempitan itu menekan tulang belakang atau saraf tulang belakang, ia akan membentuk simptom. Selalunya ia bermula dengan rasa sakit yang sedikit sebelum berubah menjadi makin teruk.
  • Rasa sakit atau kejang pada kaki. Selalunya rasa kejang pada kaki bermula apabila anda berdiri terlalu lama atau ketika berjalan. Rasa sakit itu hilang apabila anda membengkok atau duduk tetapi terjadi kembali apabila anda berdiri semula.
  • Rasa sakit pada belakang dan pinggul. Diska yang teranjak boleh menekan saraf pada bahagian bawah tulang belakang. Ia membawa kepada rasa sakit yang bermula pada pinggul atau punggung yang turun ke bahagian kaki. Rasa sakit makin teruk bila anda duduk tetapi hanya menjejaskan satu bahagian saja. Anda akan berasa kebas, lemah dan rasa digigit gigit (tingling) pada kaki atau jari kaki.
  • Rasa sakit pada tengkuk dan bahu. Biasanya berlaku apabila saraf tengkuk ditekan. Ia mungkin terjadi sesekali atau mungkin kronik. Kadangkala ia akan turun pada tangan atau lengan. Anda mungkin alami sakit kepala dan kelemahan otot.
  • Hilang kawalan pundi kencing (sindrom cauda equina). Dalam kes yang serius, saraf pundi kencing atau usus terjejas menyebabkan sebahagian atau keseluruhan bahagian pundi kencing terjejas. Ia terjadi di kalangan tiga hingga empat peratus pesakit.

Rawatan
Rawatan bukan pembedahan
  • Ubat anti radang bukan steroid (NSAIDs). Biasanya membabitkan ubat yang boleh dibeli di kaunter seperti aspirin atau ibuprofen.
  • Analgesics - bukan penahan sakit.
  • Pengambilan makanan tambahan.
  • Berehat atau mengehadkan aktiviti yang boleh memperbaiki simptom.
  • Terapi fizikal.
  • Pemakaian alat bantuan seperti korset.
  • Suntikan epidural.

More from Laman Kesihatan


^ Back To Top